Terapi ibu hamil


Orang-orang tua sering ingatkan anak-anak yang bakal menjadi ibu agar selalu membaca surah Maryam bagi mendapat anak yang solehah manakala surah Yusuf untuk mendapat anak yang soleh serta elok paras rupa dan bijak seperti Nabi Yusuf. Selain dari itu, bakal ibu diingatkan untuk selalu menyebut beberapa nama Allah SWT seperti 'Al-Khaliq' (Maha Pembuat), 'Al-Baari (Maha Punca Kebaikan) dan 'Al-Musawwir' ( Maha Pereka) dalam doa.

Seterusnya bakal ibu diingatkan supaya sentiasa menjaga gerak lakunya. Fikiran dan sikap bakal ibu akan mempunyai impak ke atas anak yang bakal dikandung dan dilahirkan nanti. Bakal ibu yang terdorong melakukan perbuatan mazmumah seperti mengumpat, bercakap besar dan tidak menghormati orang lain akan mempengaruhi pemikiran dan kelakuan anak yang bakal dihamil dan dilahirkan kelak.

Ibu seeloknya mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti bertutur dengan lemah lembut, berbaik-baik dengan semua orang, menghormati kedua ibu bapa dan mentaati serta memuliakan suami. Insyaallah anak yang bakal dilahirkan kelak akan mewarisi sifat-sifat mahmudah yang diamalkan ibunya itu. 

Bakal ibu juga dinasihatkan supaya memelihara ketertiban dan kesempurnaan beribadat beribadat, iaitu mendirikan solat pada awal waktu. Solat itu tiang agama. Jika solat itu tidak mantap, bererti tiang agama itu rapuh. Apabila tiang agama rapuh, ibadat lain tidak dapat menumpang teduh dan menumpang hayat, Jika kita buat kebaikan lain sekalipun seperti bersedekah, berzakat dan berpuasa, tetapi apabila tidak disokong oleh solat maka segala kebaikan tidak dapat dinaikkan pahalanya ke langit.

Anak yang sihat lazimnya dikandung oleh ibu yang sihat. Bakal ibu wajar berusaha untuk menjaga kesihatannya ketika hamil. Ibu seeloknya mengambil makanan yang boleh memberi tenaga kepada ibu. Ada bakal ibu yang mengalami keadaan loya di waktu pagi semasa peringkat permulaan kehamilan. Keadaan tidak selesa ini berlaku mungkin berlaku selama lebih kurang tiga bulan pertama kehamilan. Selepas itu, bakal ibu akan dapati selera makannya bertambah dan berat badan juga akan turut bertambah. Walau bagaimanapun, bakal ibu juga harus pastikan makan makanan yang berkhasiat seperti daging, telur, kekacang, ayam, kacang dhal dan kacang buncis. Buah-buahan tempatan atau import juga penting dalam diet bakal ibu. 

Bakal ibu disarankan supaya menjaga kesihatan ketika kehamilan. Ini termasuklah jika terkena selsema pada tiga bulan pertama kehamilan. Anak yang dilahirkan mungkin akan mengalami kecederaan otak dan ini boleh mempengaruhi pencapaian anak dalam pembelajaran. 

Untuk memastikan bakal ibu sihat ketika kehamilan, amatlah digalakkan untuk mengamalkan aktiviti riadah berjalan kerana hanya aktiviti ini yang bersesuaian buat ibu hamil. Ibu boleh berjalan mengelilingi padang, ataupun ke kedai berdekatan. Riadah berjalan ini baik untuk kaki supaya darah dapat mengalir dengan lancar, di samping dapat membuat senaman bagi otot-otot rahim dan paru-paru untuk mendapat udara segar dengan perjalanan yang agak rancak. 

Juga bagi ibu yang hamil, pengambilan suplemen prenatal juga sangat baik jika diamalkan setiap hari. Ia sesuai bagi ibu yang kerap mengalami loya atau semasa hormon berada dalam keadaan tidak stabil yang mana akan membuatkan emosi ibu tidak terkawal. Pengambilan sesetengah suplemen atau vitamin juga mampu dijadikan terapi buat ibu hamil. 

Comments

Popular Posts