Kaitan antara hormon oksitosin dengan penyusuan

Pernah dengar hormon oksitosin? 

Kebiasaannya hormon oksitosin, prolaktin, dan estrogen amat berkait rapat dengan wanita. Oksitosin sememangnya terkenal sebagai hormon cinta!


Hormon oksitosin biasanya dikaitkan dengan emosi. Ia dikenali sebagai hormon anti-stress ataupun hormon kasih sayang juga. Apabila bayi dilahirkan dan uri dikeluarkan, paras hormon oksitosin ini akan meningkat dengan ketara. Hormon oksitosin didapati akan meningkat lagi apabila ibu bersentuhan kulit dengan bayi dan seterusnya apabila bayi menghisap susu pada payudara. Bukan itu saja, malah oksitosin juga dipercayai boleh meningkat hanya dengan memikirkan tentang bayi, menatap gambar bayi dan juga mendengar tangisan bayi! Hormon oksitosin ini penting semasa penyusuan susu ibu kerana ia merangsang keluarnya susu ibu melalui rangsangan pada otot di sekitar payudara.



Bagaimana hormon oksitosin dihasilkan melalui penyusuan?

Apabila bayi menghisap pada puting payudara, ini akan mencetuskan impuls yang akan dibawa oleh neuron ke otak. Proses ini akan merangsang kelenjar pituitari untuk merembeskan hormon oksitosin. Apabila hormon oksitosin ini terhasil, ia akan dibawa oleh aliran darah ke payudara ibu. Hormon oksitosin ini akan dikesan oleh reseptor dan ia akan merangsang sel mioepitelia untuk mengecut dan kemudian akan menyebabkan susu terpancut ke arah areola melalui duktus laktiferus. Sebab itu ibu-ibu akan merasa keadaan di mana susu telah let-down apabila bayi mula menghisap. Situasi ini dinamakan let-down refleks yang mana ianya berkait rapat dengan oksitosin.


Kesimpulan tentang oksitosin dan penyusuan


Jadi betapa pentingnya hormon oksitosin ini pada wanita kerana ia mempengaruhi penyusuan anda melalui let-down refleks pada ibu. Jika anda berada di dalam mood yang happy dan relax, maka penyusuan anda pun berjalan dengan lancar kerana pengeluaran hormon oksitosin ini. Sebab itu kalau ibu-ibu perasan, jika kita sedang menyusukan bayi secara mengiring atau baring, kita akan mudah mengantuk atau terlena disebabkan hormon kasih sayang ini. Pengeluaran hormon oksitosin ini telah membuatkan ibu-ibu berada di dalam keadaan relax dan emosi yang sangat tenang. 

Rembesan hormon oksitosin ini bukan sahaja dipengaruhi oleh hisapan bayi pada puting, malah melalui sentuhan pun turut mempengaruhi. Sebagai contoh jika ibu ingin mengepam atau memerah susu ibu untuk stok EBM, apa yang harus dilakukan untuk mengeluarkan susu adalah dengan cara menstimulasi atau memberi rangsangan pada puting payudara ibu dengan cara menggentel puting. Setelah beberapa saat atau minit, ibu akan merasai tindakan refleks let-down dan seterusnya akan mengeluarkan susu. 

Itulah kaitannya antara hormon oksitosin dengan penyusuan susu ibu. Ia sememangnya digelar hormon cinta, hormon kasih sayang dan juga hormon anti stress. Sebab itu sangat penting jika ibu-ibu sentiasa berada di dalam keadaan yang sentiasa tenang dan emosi terkawal sepanjang mengharungi perjalanan penyusuan susu ibu ini. Kerana ia sememangnya sangat mempengaruhi penyusuan si ibu buat bayi!

  

Comments

Popular Posts