Ku Memburu Syurga-MU
Assalamualaikum..
Baru terbit rasa nak update blog saya ni. Hampir sekian lama saya tak post entry baru sejak saya melahirkan anak ke-3 saya. Alhamdulillah syukur di atas apa yang berlaku selama ini. Bersyukur di atas dugaan dan ujian yang Allah beri pada kami pada 2 bulan yang lepas. Untuk yang dahpun mengetahui, mungkin saya tak perlu nak luahkan lagi dalam entry kali ini. Sebab saya risau saya akan menitiskan airmata lagi.
Walau apa yang berlaku, kehidupan saya tetap perlu diteruskan walaupun tanpa Muhammad Ammar di sisi. Apa yang pasti, saya sangat gembira bila dia sudahpun selamat di bawah jagaan Nabi Ibrahim sekarang. Saya tak perlu susah hati lagi kerana yang pasti, dia sudahpun berada di Syurga, tempat yang dulu hanya sekadar di mulut kita sahaja tetapi tidak di hati.
Semua orang mahu ke syurga. Tapi kadang-kadang kita tak sedar apakah amalan yang boleh membawa kita ke syurga. Kita tidak berusaha untuk menuju ke syurga. Pemergian Ammar dari hidup saya sedikit sebanyak telah membawa perubahan yang mendadak pada saya. Maaf..bukan saya ingin mendabik dada mengatakan saya semakin baik. Tidak..Betul orang selalu cakap kat saya. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ada hikmah di sebalik ujian yang kita lalui. Allah ambil Ammar dari saya dalam sekelip mata. Di kala saya gembira apabila saya dikurniakan anak lelaki pertama, dan Allah pinjamkan pada saya selama 3 hari dan kemudian mengambilnya semula.
Apa hikmahnya?
Saya macam tersentak dengan apa yang berlaku. Saya pasti ramai ibu yang kehilangan anak akan merasa benda yang sama seperti saya rasa. Hanya mereka yang pernah melaluinya akan tahu bagaimana rasanya. Ia berlaku secara sekelip mata tanpa dijangka. Allah ingin menguji saya. Ingin menguji keimanan saya. Kesabaran saya. Ingin saya ambil iktibar dengan apa yang berlaku. Memang betul. Ada hikmah yang saya dapat dari ujian yang saya lalui. Allah ambil Ammar dan menempatkannya di syurga terus tanpa dihisab. Rindunya saya pada Ammar hanya Tuhan yang tahu hingga saya rasa nak sangat ke syurga untuk bertemunya. Hati meronta sangat-sangat. Sampai saya mengharapkan Allah mempercepatkan Kiamat supaya saya dapat bertemu dengan anak saya semula. Tapi saya takut bila fikirkan saya yang masih banyak dosa dan rasa masih tak layak untuk ke syurga. Hidup saya sekarang ini hanyalah ingin memburu syurga-Mu Ya Allah. Hati ini meronta-ronta sangat untuk bertemu dengan Muhammad Ammar yang sedang menanti di pintu syurga. Saya jadi takut sangat tercampak ke neraka. Saya takut saya tak dapat bertemu anak saya.
Inilah antara hikmah yang tersirat. Allah Maha Mengetahui. Walaupun sebelum ini bermacam dugaan dan ujian yang saya lalui, tapi saya akui saya kurang mengambil iktibar dengan apa yang berlaku. Ingin ke syurga itu hanya di mulut. Saya solat..saya puasa..saya bukan orang jahat..saya tidak pernah buat jahat pada orang..tapi saya tak rasa hati saya begitu dekat dengan Allah..saya tidak ghairah untuk memburu syurga Allah. Saya lalai dengan dunia. Lalai dengan keseronokan dunia. Sebab itulah Allah beri ujian ini pada saya. Supaya sayapun tidak lagi leka dengan dunia. Allah betul-betul sayangkan saya. Saya bersyukur sangat dengan ujian yang saya lalui ini. Walaupun ia menyedihkan apabila kehilangan anak, tapi saya gembira bila mengetahui Ammar sudahpun ditempatkan di syurga. Saya gembira bila saya sudahpun ada anak yang berada di syurga. Saya beruntung bila mengandungkan seorang ahli syurga. Tidak semua orang berpeluang mendapat apa yang saya dapat. Tidak semua orang mampu membawa anak menuju ke syurga. Tapi Allah hadiahkan saya dengan ujian ini. Ammar membawa syafaat pada kami ibubapanya di Padang Masyar nanti. Yang boleh menarik kami ke syurga kelak. Saya bersyukur sangat Allah mengambil Ammar dari saya. Kerana itulah yang menjadi titik permulaan saya untuk MEMBURU SYURGA. Semoga Allah tetapkan hati saya ini hingga ke nafas terakhir saya. Semoga saya terus istiqomah dengan apa yang saya lakukan. Istiqomah menuju jalan-Mu. Amin
Comments
Post a Comment