7 perkara sunat semasa menyambut kelahiran bayi
Di dalam kita berseronok dan gembira dengan kelahiran bayi yang sudah lama dinanti-nantikan, jangan dilupakan adab-adab menyambut kelahiran bayi. Diharap anda semua dapat jadikan ia sebagai amalan sebaik saja anak anda selamat dilahirkan.
1) Sunat diazankan di telinga bayi.
Ia pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika cucu baginda Hassan dilahirkan. Imam Ibn Qayyum memberitahu azan dilakukan supaya kalimat azan menjadi kalimat atau seruan pertama yang didengar oleh bayi yang mana ia menceritakan tentang kebesaran Allah.
2) Lakukan sujud syukur.
Ia dilakukan sebaik saja bayi keluar dari rahim sebagai tanda bersyukur atas kurniaan Allah. Sujud syukur ini dilakukan di mana saja suami berada.
3) Menanam uri
Uri bayi haruslah ditanam secepatnya kerana ia adalah kotor dan najis. Uri tidak perlu dibersihkan sebaliknya hanya perlu dibungkus terus dan segera ditanam. Ia elok ditanam di dalam tanah yang keras bagi mengelak ianya dikorek oleh binatang.
4) Melakukan tahnik
Sunat melakukan tahnik pada bayi ataupun dipanggil belah mulut. Tahnik ialah engunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal dari menyebut perkara yang tidak berfaedah. Ia bukan sahaja boleh dilakukan oleh orang soleh malah bapa kepada anak tersebut juga lebih baik untuk melakukannya.
5) Mencukur jambul
Sunat mencukur jambul atau menggunting sedikit rambut bayi pada hari ketujuh. Ia sebagai tanda permulaan kehidupan bayi sebagai manusia dan hamba Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut yang lebih sihat. Siapa saja boleh mencukur jambul bayi namun yang sebaik-baiknya adalah orang yang soleh ataupun ahli keluarga terdekat.
6) Mengkhatankan anak
Sunat mengkhatankan bayi yang baru lahir pada hari ketujuh. Berkhatan dilakukan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan selain dari mencegah penyakit dan masalah seksual. Ia adalah wajib bagi lelaki manakala sunat bagi perempuan. Bagi perempuan, ianya tidak perlu kerana tidak ada dalil yang sahih tentang wajibnya berkhatan bagi perempuan.
7) Aqiqah
Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu, kambing, kerbau atau unta. Ianya afdal dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya anak lebih dekat kepada Allah. Mengikut sunnah Rasulullah, dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling. Jika ibubapa tidak mampu untuk melakukan aqiqah pada masa tersebut, mereka masih boleh melakukannya sebelum si anak mencapai akil baligh.
Comments
Post a Comment