Vitamin Ibu Hamil
Sebaik saja mengetahui diri anda hamil, semestinya keperluan pertama yang harus anda cari adalah supplemen untuk diri anda..Baju, kasut, katil bayi atau stroller semuanya jatuh di tempat ke-2 yang perlu dicari. Supplemen sangat penting untuk anda yang hamil kerana ia juga turut menjadi keperluan bayi anda untuk membesar dengan sihat. Makanan tambahan atau supplemen untuk ibu hamil dipanggil Prenatal Vitamin. Kebiasaannya, vitamin untuk ibu hamil tidak sama dengan orang dewasa yang tidak hamil kerana dosnya adalah berbeza.Pengambilan supplemen ketika hamil ini amat perlu bagi mengelakkan masalah-masalah yang besar seperti kecacatan, bayi paramatang, dan kekurangan berat ketika bayi dilahirkan. Selain itu, keperluan vitamin ini juga penting kerana ia dapat menampung kekurangan nutrisi yang dialami oleh ibu disebabkan oleh tiada selera makan.
Untuk itu, apakah supplemen yang sangat penting bagi ibu hamil ini?
1) Zat besi (iron)
Zat besi penting untuk pembentukan sel darah merah. Zat besi merupakan komponen utama dalam sel darah merah yang berfungsi untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan. Ia dapat mengurangkan risiko kelahiran bayi pramatang. Wanita hamil memerlukan zat besi berlebihan berbanding wanita tidak hamil untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi. Wanita hamil memerlukan kira-kira 50% lebih banyak zat besi daripada wanita tidak hamil iaitu bertambah dari 15 kepada 27mg/dl sehari. Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia.
Zat besi boleh didapati daripada makanan seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu.
2) Asid folik
Kajian menunjukkan kepentingan asid folik banyak membantu dalam perkembangan saraf dan otak bayi di dalam kandungan. Namun, sebenarnya, penambahan pengambilan asid folik perlu dilakukan 3 bulan sebelum mengandung. Asid folik dapat membantu menghindarkan kecacatan bayi yang dipanggil neural defect atau NTD. Pengambilan asid folik membantu mencegah kecacatan ini sebanyak 50-70% daripada berlaku.
Secara umumnya, asid folik boleh didapati menerusi makanan yang kaya dengan asid folik atau pil asid folik. Jumlah yang disyorkan adalah sekitar 400mg setiap hari. Sumber asid folik boleh diperolehi juga daripada barli, daging lembu, ragi yang ditapai, beras perang, keju, ayam, kurma, sayuran berdaun hijau, daging kambing, hati, susu, cendawan, oren, sayuran berubi, ikan salmon, tuna, gandum dan bijirin.
3) Kalsium
Kalsium sangat penting untuk perkembangan tulang dan gigi yang kuat dan sihat, jantung yang sihat dan juga untuk perkembangan otot dan saraf bayi. Selain dari itu, kalsium juga memainkan peranan dalam membantu agar jantung berdenyut secara normal dan berfungsi membantu dalam keupayaan pembekuan darah.
Tanpa bekalan kalsium yang cukup, ibu hamil boleh terdedah kepada risiko preeclampsia, yang mungkin boleh membawa maut kepada ibu dan anak. Dos yang diperlukan bagi ibu hamil adalah 1000 mg setiap hari. Secara amnya, kalsium boleh didapati dari produk tenusu seperti susu. Antara sumber makanan yang mengandungi kalsium selain dari susu adalah ikan, sayuran hijau, dan kekacang.
4) Omega-3
Omega diperlukan untuk perkembangan otak dan penglihatan bayi, serta membentuk sistem saraf. Ikan adalah sumber terbaik bagi omega-3 terutamanya ikan salmon. Malangnya ikan salmon dibimbangi boleh menyebabkan keracunan merkuri akibat daripada pencemaran sungai di US. Bagi ibu hamil dan yang menyusukan anak, dos yang dicadangkan ialah 200-300 mg sehari.
Comments
Post a Comment